Saturday, March 1, 2008

Laman 'Warkah Untuk PM' dilancarkan

Utusan Malaysia 1 mac 2008

PEKAN 1 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan laman web khas - www.warkahuntukpm.com.my - untuk Perdana Menteri meneliti secara peribadi segala pandangan atau isu yang mungkin menjadi kebimbangan rakyat.

Ia merupakan satu saluran komunikasi dua hala yang diwujudkan untuk menerima pandangan dan saranan rakyat bagi mengukuhkan lagi program pembaikan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan lama web itu di kediamannya di sini.


Beliau berkata laman web itu merupakan satu wahana baru yang membolehkan rakyat berinteraksi dengan kerajaan selaras dasar untuk mendekatkan lagi hubungan antara rakyat dan kerajaan.

"Pelancaran laman web ini adalah dengan mengambil kira zaman ICT ini, maka saluran internet merupakan satu saluran yang penting dan berkesan untuk mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai.

"Dengan pelancaran laman web ini bererti kita mewujudkan wahana baru interaksi, yang dilihat akan memberi kesan kepada rakyat dalam jangka pendek dan panjang,” katanya kepada pemberita di sini.

- Bernama


Komen:

Saya tidak pasti sama ada kebetulan atau suratan, sebuah laman khas dibuat untuk rakyat meluahkan cadangan, idea dan perasaan kepada Perdana Menteri dengan tajuk 'Warkah Untuk PM'. Saya telah menulis Warkah Buat Teman sehari selepas pembubaran parlimen.

Apa pun, rakyat boleh buka laman
Warkah Untuk PM untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati, inilah masanya!

Friday, February 22, 2008

SIDANG MEDIA PENGISTIHARAN DOKUMEN PILIHANRAYA UMUM KE 12: 13 TUNTUTAN PELAJAR

SIDANG MEDIA PENGISTIHARAN DOKUMEN PILIHANRAYA UMUM KE 12: 13 TUNTUTAN PELAJAR
(Dilancarkan pada 22 Februari 2008, 15 Safar 1429, Jumaat, di Yayasan Penataran Ilmu, Kuala Lumpur)

BISMILLĀHIRRAHMĀNIRRAHĪM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sebagai sebuah komponen dalam masyarakat, kami dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami.

Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan.

Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.

Maka, kami menyatakan 13 tuntutan yang harus dipertimbangkan oleh bakal- bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan:



1 Menukar Sains dan Matematik Kepada Bahasa Melayu

Proses pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu agar tidak berlaku kemerosotan pelajar luar bandar. Malah agar minat dan kefahaman pelajar dapat dipertingkatkan jika diajar dalam bahasa Melayu

2 Membanteras Program Hiburan Melampau dan Gejala Hedonisme

Generasi muda harus tidak diekploitasi sebagai konsumer hiburan yang melampau. Potensi mereka harus dibangunkan mengikut modul modal insan yang seimbang. Kerajaan harus mengawal program hiburan.

3 Menolak Universiti Berteraskan Parti politik

Kewujudan universiti berteraskan parti politik tidak membina bangsa yang berkongsi semangat kebangsaan, dari segi bahasa dan ‘worldview’, akhirnya memecahkan lagi pola ketidakseimbangan perpaduan kaum

4 Menuntut Autonomi Universiti

Bukan sekadar autonomi pentadbiran, tetapi autonomi ilmu dan idea. Universiti harus mengekalkan prestij keilmuan dengan tidak membenarkan ahli politik memegang tampuk Canselor dan Naib Canselor, akan tetapi kepada ahli akademik yang ada kredibiliti.

5 Mewajibkan Subjek Falsafah di Semua Universiti dan Pilihan Terbuka Subjek Minor

Ini bertujuan menyeimbangkan mahasiswa dengan elemen berfikir dan kemanusiaan. Malah, subjek minor secara terbuka dapat mengembangkan potensi mahasiswa kelak.

6 Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan

Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3% yang dikenakan PTPTN serta merta.

7 Menjadikan IPT Sebagai Zon Internet Percuma

Menyediakan kemudahan capaian internet wireless secara percuma dan menyeluruh di seluruh institusi pengajian tinggi, bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan

8 Meminda AUKU

AUKU harus dipinda dan memberi kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik. Legasi AUKU menyebabkan telah lahir generasi yang berjiwa kecil dan pasif.

9 Menolak Pelabelan ‘Pro Kerajaan’ dan ‘Pro Pembangkang’.

Pelabelan ini sebenarnya permainan politik sempit politik kepartian, yang ingin menguasai legitimasi parti di universiti. Label yang tidak sihat ini menyebabkan jurang di kalangan mahasiswa melebar.

10 Menolak Sikap Prejudis Terhadap Program Da’wah di Universiti

Sesetengah universiti menyekat program da’wah seperti gerakan tabligh, usrah dan membincangkan tokoh pemikir Islam. Sikap universiti ini menghalang daripada pembinaan mahasiswa yang kritis dan berperibadi mulia.

11 Mengangkat Tema Islamisasi Sebagai Teras Universiti.

Universiti harus menjadikan universiti sebagai pusat Islamisasi ilmu, dengan memperkenalkan subjek pengajian Islam dengan lebih meluas, dan mendidik mahasiswa supaya jurang ‘compartmentalization’ tidak melebar.

12 Mendaulatkan Bahasa Melayu di Tempatnya.

Bahasa Melayu harus diletakkan sebagai 'the utmost priority' bagi bakal kerajaan. Sikap pemimpin yang meremahkan bahasa Melayu merupakan sikap yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

13 Melantik Wakil Senator di Kalangan Pelajar

Wakil pelajar ini dapat menyuarakan suara secara langsung dalam Parlimen, secara tidak lansung mengiktiraf pelajar dalam proses pembinaan negara.

Dokumen lengkap 13 Tuntutan Pelajar Malaysia boleh didapati di http://www.pkpim.net/



Wednesday, February 20, 2008

PENGISHTIHARAN DOKUMEN “PILIHANRAYA UMUM KE 12: 13 TUNTUTAN PELAJAR” DAN JEMPUTAN SIDANG MEDIA

Ruj. Kami : PKPIM0708/PRES/PRU12
Tarikh : 20 Februari 2008/ 13 Safar 1428 H


Semua yang Berkenaan,


Assalamu’alaikum wrt. wbt.

Saudara,

PENGISHTIHARAN DOKUMEN “PILIHANRAYA UMUM KE 12: 13 TUNTUTAN PELAJAR” DAN JEMPUTAN SIDANG MEDIA

Merujuk kepada perkara di atas, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan mengadakan pengishtiharan 13 Tuntutan Pelajar sempena Pilihanraya Umum ke 12 dan sidang media. PKPIM menjemput sdr dan organisasi sdr bersama dalam tuntutan itu.

Justeru, saudara/ saudari dijemput untuk hadir bagi menghadiri sidang media Pengishtiharan Dokumen Pilihanraya Umum ke 12: 13 Tuntutan Pelajar. Turut dilampirkan pada jemputan ini adalah dokumen 13 Tuntutan Pelajar untuk pertimbangan pihak saudara.

Butiran mesyuarat adalah seperti berikut::

Tarikh/Hari : 22 Februari 2008, Jumaat
Masa : 4.00 petang
Tempat : Yayasan Penataran Ilmu, (bersebelahan dengan rumah GAPENA), Kuala Lumpur

Segala kerjasama dan keprihatinan amatlah dihargai.

Sekian. Terima kasih.


Yang benar,

T. T

( MOHD HILMI BIN RAMLI)
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Thursday, February 14, 2008

PRU 12: WARKAH BUAT TEMAN


PRU 12: WARKAH BUAT TEMAN

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Ke hadapan teman- temanku yang dikasihi. Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk berkongsi sesuatu dengan teman, memandangkan Pilihanraya Umum ke 12 akan berlansung tidak lama lagi. Tarikh mengundi telah pun diumumkan. Maka gendang ‘perang’ pilihanraya telah pun bergema.

Seperti biasa, ahli politiklah manusia yang paling sibuk ketika PRU ini. Mereka akan berhempas pulas memastikan kejayaan di tangan mereka. Tetapi, biarlah, itu memang tugas mereka pun. Kita hormati peranan mereka. Saya mahu berkongsi dengan teman- teman ialah, apa pula peranan kita sebagai rakyat biasa?

Dalam pilihanraya, kita sebagai rakyat diberi tanggungjawab untuk mengundi calon pemimpin yang kita percayai akan membawa perubahan yang baik. Akan tetapi saya menyoal teman- teman yang bijaksana, apakah kita selamanya menjadi pengundi yang pasif? Yang sekadar memangkah calon atau parti tanpa berfikiran kritis?

Ah, maafkan saya kerana agak keterlaluan soalnya. Saya sebenarnya menujukan warkah ini kepada teman- teman saya yang masih muda- muda ini, yang dikatakan belia ini. Sebelum itu tidak terlambat saya alukan teman- teman yang baru sahaja layak mendaftar sebagai pengundi PRU ke 12 ini. Sememangnya saat menjadi pengundi ketika di alam kampus adalah pengalaman yang luar biasa sekali.

Teman- temanku,

Kenapa saya seru kita supaya tidak menjadi pengundi yang pasif? Sudah pasti teman- teman bertanya- tanya ingin mengetahuinya jawapannya kan? Beginilah, saya harus berterus terang kepada teman- teman bahawa kita sebagai generasi muda, dan rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai kuasa yang luar biasa, iaitu memilih dan menolak pemimpin yang kita mahu.

Dalam pilihanraya, mengundi adalah caranya. Dalam konteks kita hari ini, teman- teman harus menyatakan tuntutan dan hasrat teman- teman kepada bakal- bakal wakil rakyat nanti. Kita harus tegas dalam menuntut hak dan yang paling penting apa yang baik untuk kita.

Saya melontarkan beberapa isu yang perlu kita sama- sama fikirkan, iaitu;

1. Kita belajar hari ini sudah kering daripada biasiswa, yang ada hanyalah pinjaman. Saya rasa ramai yang berhutang ketika belajar dan selepas belajar. Maka, bila berhutang ini, semacam kaki kita terikat sehinggakan asyik terfikir cara membayar hutang. Bukankah dalam Hadith Nabi ada mengatakan sebenarnya orang yang berhutang ini hina di siang hari? Kenapa kita tidak dapat lagi biasiswa? Walhal keuntungan negara agak memberangsakan.
2. Saya percaya mahasiswa sekarang pasti lebih mengenali Mawi daripada mengenali Naib Canselor- Naib Canselor universiti, percaya tak? Sekarang ini prestij universiti sebagai pusat intelektual sudah hilang nilainya. Pelajar semua sudah jadi macam ‘budak’ sekolah, dikawal dan diperhatikan sepanjang masa. Inilah akibatnya apabila universiti telah dijadikan perkakas kepentingan parti politik. Jika itu, lebih baik sahaja universiti ditutup sahaja, sebab hilang maruah akibat kerakusan politik. Kuasa autonomi universiti pun sudah hilang.
3. Nasib bahasa Melayu juga semakin merosot teman- teman. Kita ada pemimpin Melayu di peringkat Eksekutif yang ramai, tetapi bahasa Melayu semakin menyepi. Kenapa ye, wakil- wakil yang kita pilih tidak berusaha memartabatkan bahasa Melayu di tempat yang tinggi?

Ini adalah sebahagian isu yang saya rasa teman- teman tahu dan risau. Sebenarnya banyak lagi isu yang bersepah yang memerlukan perhatian dan tindakan segera. Kerana itulah kita harus menghantar mesej yang jelas kepada bakal pemimpin dan kerajaan akan datang, bahawa kita generasi muda mahukan mandat yang segar dan baru. Saya kaitkan juga dengan pelbagai masalah luar seperti rasuah kehakiman berleluasa, jenayah meningkat, mutu universiti merosot, gejala sosial meningkat, akhlak pemimpin yang rosak, dan pelbagai lagi.

Kita tidak mahu kerja ‘tampal- menampal’ sistem yang rosak ini. Kita juga tidak mahu janji- janji mahu merubah sistem sedia ada yang rosak ini mendatang. Kita sepatutnya jelik dan bosan dengan janji- janji sesetengah wakil rakyat ini. Sebab itu Benjamin Disraeli ada menyatakan tentang politik, “Is the art of governing people by deceiving them”. Maksudnya, politik ialah seni mengurus manusia dengan cara menipu mereka (janji palsu).

Maaf, tidak semua saya katakan ahli politik sebegitu, tetapi ramai yang sebegitu.

Justeru apa peranan kita, teman- teman bertanya ya. Kita harus menggerakkan kesedaran kepada semua rakyat dan kita sendiri mengenai hak dan kuasa kita. Kita ada kuasa memilih yang harus dimanfaatkan. Kita harus menggunakan kuasa ini untuk kepentingan dan kebaikan kita.

Sebab itu kita perlu faham, bahawa ‘Yang Berhormat’ perlu ditukar kepada ‘Yang Berkhidmat’. Kita wajib menuntut daripada mereka supaya menunaikan hak dan tuntutan kita, sebab mereka adalah wakil kita dalam parlimen kelak. Nabi Muhammad Sallahu’alaihi Wasallam ada bersabda, “Saiidul kaum, khadimuhum”, maksudnya pemimpin kaum adalah khadam (berkhidmat) kepada kaumnya”.

Maka dengan inilah saya memohon kerjasama teman- teman semua supaya kita menyampaikan tuntutan dan hak kita. Setiap di kalangan kita harus membawa ‘wish list’, misalnya mahukan biasiswa dan pendidikan percuma kepada calon wakil rakyat, dan nyatakan kepada mereka adalah kamu boleh memperjuangkan biasiswa dan pendidikan percuma? Jika beliau mengatakan boleh, maka kita katakan kita akan menyokong beliau. Jika tidak, kita tinggalkan calon yang tidak berguna ini.

Misal yang lain ialah ‘wish list’ kita mahukan jenayah dikurangkan, kita berjumpa dengan calon wakil rakyat dan katakan adalah beliau bersetuju supaya membawa hasrat kita jenayah dikurangkan, jika bersetuju maka kita akan sokong, jika tidak kita kata bye...bye sahaja!

Kerja ini memerlukan kerjasama semualah. Saya tidak memaksa teman- teman untuk memilih siapa dan parti tertentu yang teman- teman cenderung, kerana saya menghormati pandangan semua. Saya juga menyerahkan kebijaksanaan teman- teman untuk memilih yang boleh membawa kebaikan. Apa yang saya seru ialah SUPAYA HAK DAN TUNTUTAN KITA MENJADI KEUTAMAAN BAKAL PEMIMPIN KITA.

Kita harus mencerdaskan dan mendidik rakyat dalam hal ini. Kita tidak mahu rakyat yang tidak cerdik dan bobrok, kerana nescaya pemimpin yang diangkat oleh rakyat pasti di kalangan yang tidak cerdik dan bobrok juga. Kita mahukan pemimpin yang lahir di kalangan masyarakat ialah mereka yang terbaik, yang mampu memimpin negara...ahh..saya terhimbau sebentar kepimpinan Umar Abdul Aziz yang penuh dengan keberkatan. Itulah yang kita mahukan.

Teman- teman sekalian,

Sebelum akhir, saya sekadar memohon kita sekadar menjadi rakyat dan pengundi yang bijak, yang meletakkan tuntutan dan hak kita di bahu bakal pemimpin akan datang supaya dapat dilaksanakan. Tugas ini agak sukar dan penat, tetapi saya yakin jika kita buat secara bersama, Insyallah, semua akan senang. Kita mahukan pemimpin yang boleh tunaikan hak kita, itu sahaja. Maka, kita wajib mendidik dan mencerdaskan rakyat. Selamat mengundi kepada teman- teman yang baru mendaftar!


Yang Ikhlas

Mohd Hilmi Ramli
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gombak